MUDA Selangor terlibat dalam satu usaha penyelamatan dan sumbangan barangan bantuan kepada mangsa banjir negeri Johor pada awal bulan Mac 2023. Ini merupakan misi bantuan banjir yang ketiga bagi saya. Ada tiga isu yang berulang dalam ketiga-tiga misi banjir yang saya sertai, dan menjadi harapan saya agar isu-isu ini dapat dikaji dan ditangani sebelum bencana alam yang pasti akan melanda lagi.
Koordinasi antara agensi penyelamat tidak memuaskan
Isu paling utama ialah koordinasi yang kurang memuaskan antara agensi-agensi penyelamat yang terlibat. Penyelamatan mangsa banjir di Malaysia melibatkan pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, polis, sukarelawan dan lain-lain. Ketersediaan peralatan dan kecekapan peralatan adalah penting supaya penyelamatan dapat dilakukan dengan lancar, cepat dan selamat. Namun, berdasarkan pemerhatian kami, banyak mangsa banjir terperangkap di kawasan terpencil, maka penduduk sekeliling terpaksa meminta tolong dari sukarelawan yang kurang tersedia dengan peralatan dan kurang berpengalaman dalam operasi penyelamatan berisiko tinggi. Oleh itu, koordinasi yang baik antara agensi-agensi adalah penting untuk memastikan operasi penyelamatan dapat dilakukan dengan cepat dan efektif.
Bantuan tidak segera atau tidak mencukupi
Isu kedua melibatkan kemampuan untuk memberi bantuan segera selepas penyelamatan. Selepas mangsa banjir diselamatkan, mereka memerlukan bantuan segera seperti makanan, air bersih, pakaian, tempat perlindungan dan sebagainya. Disebabkan kurang koordinasi dan kekurangan maklumat mangsa yang tepat, barangan bantuan sering kali tidak diagihkan dengan mencukupi atau sampai lewat untuk memenuhi keperluan harian. Kadang-kala, mangsa banjir mungkin menetap di pusat pemindahan sementara yang tidak berdaftar dengan kerajaan, seperti surau kecil, maka barangan banjir tidak diagihkan ke tempat sebegitu. Kemampuan untuk memberi bantuan segera ini penting untuk memastikan mangsa banjir dapat pulih dari kesan banjir secepat mungkin.
Bantuan perubatan kurang dititikberatkan
Isu ketiga ialah bantuan perubatan dan penjagaan kesihatan mangsa banjir kurang dititikberatkan. Kami sempat bertemu dengan sukarelawan dari Persatuan Bulan Sabit Merah di Batu Pahat, namun mereka mengadu bahawa mereka tidak dapat membantu apa-apa, kerana tidak diberi sebarang barangan perubatan, termasuk kit pertolongan cemas (first aid kit), apatah lagi ubatan untuk penyakit akut dan kronik. Pada masa yang sama, mangsa banjir perlu disokong dari segi sokongan moral dan emosi selepas kejadian yang traumatik. Bantuan perubatan psikologi dan kaunseling adalah mustahak untuk menyokong kemandirian dan keterusan hidup mangsa pasca-banjir. Mengikut pandangan saya, kerja penyelamatan mangsa banjir perlu merangkumi perkhidmatan kesihatan selain bantuan makan minum.
Secara ringkasnya, di atas adalah tiga isu yang perlu diambil perhatian dalam usaha penyelamatan mangsa bencana alam. MUDA Selangor akan berikhtiar untuk menambah baik cara kerja kami pada masa akan datang dan sudi bekerjasama dengan semua pihak dalam menghadapi kesan perubahan iklim yang semakin rencam.
Sesiapa yang berminat untuk tawarkan diri dan sertai MUDA Medical Brigade, sila hubungi 012-4190566 (RPh Loh Chuan Tuck).