Malaysia Seharusnya Menjadi Pejuang Kemanusiaan Tersohor di Dunia

Square
Kredit kepada New Naratif.

Saya cukup kagum dengan sokongan warga Malaysia yang bersuara lantang dan mengambil tindakan ke jalanan serta berusaha untuk berpaling sokongan kepada jenama tempatan, apabila Israel sekali lagi menghujankan musibah ke atas warga Palestin yang tidak berupaya untuk melawan rejimen Zionis. Pada masa yang sama, kerajaan Malaysia menyalurkan sejumlah dana (RM 10 juta dalam Bajet 2024) beserta derma ikhlas dari rakyat Malaysia. Ramai rakyat Malaysia sanggup menahan nafsu diri terhadap sesetengah jenama untuk mengurangkan dana Malaysia disalurkan kepada penganiayaan warga Palestin di Gaza. Semangat ukhuwah antara Malaysia dengan Palestin begitu erat dan patut dipuji.

Tiada Dasar untuk Pelarian

Akan tetapi, saya amat terkilan kerana Malaysia tidak begitu ghairah apabila isu kemanusiaan selain Palestin dipertikaikan. Untuk makluman semua, Malaysia tidak terlibat dalam Konvensyen Pelarian 1951, dan juga tidak menandatangi Protokol 1961 Berkaitan Pelarian, Malaysia tidak mengiktiraf golongan pelarian, maka tiada dasar khusus yang membantu warga pelarian yang sampai ke dalam negara. Sebagai suatu negara ASEAN yang aman dan stabil (syukur), Malaysia yang menjadi salah satu destinasi pelarian terpaksa menghadapi isu pendatang asing dan/atau kewarganegaraan yang semakin genting.

Pendatang Tanpa Izin

Setakat Mac 2023, jumlah pelarian Rohingya yang berdaftar di Malaysia ialah sebanyak 107 ribu orang. Namun, pelarian yang menumpang dalam Malaysia tidak berbeza dengan pendatang asing tanpa izin (PATI). Pelarian Rohingya selalu boleh ditemui dalam lokap balai polis, sebab mencari nafkah dengan berniaga secara haram atau menjual beli barangan logam yang disyaki hasil kecurian. Pelarian Rohingya ini tidak boleh digaji secara rasmi kerana tidak diiktiraf sebagai penghuni rasmi di tanah ini. Kerajaan Malaysia seharusnya mengiktiraf hak asasi pelarian kerana mereka juga manusia yang perlu makan minum dan boleh menyumbang kepada pembangunan negara. Selain Rohingya, pelarian dari Palestin, Iraq, Syria dan negara lain, juga menghadapi masalah yang serupa.

Apabila status pelarian tidak diiktiraf, walaupun memiliki kad UNHCR (yang tidak diiktiraf sebagai dokumen rasmi di Malaysia), tindakan Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia boleh dipertikaikan, malah menggalakkan kegiatan rasuah dan peras ugut. Ini secara tidak langsung menghalang perjuangan untuk melawan korupsi dan meningkatkan integriti.

Orang Tanpa Kewarganegaraan

Pada masa yang sama, banyak warga Malaysia dibelenggu kesusahan dalam usaha mendapatkan dokumen rasmi untuk diterima sebagai ‘warganegara’ Malaysia, seterusnya diabaikan hak manusia untuk mengakses kepada peluang sara diri, pendidikan, perkhidmatan kesihatan, pemilikan harta dan sebagainya.

Salah satu kes ketiadanegaraan (dua adik-beradik) yang meminta bantuan daripada saya, ditarikbalik sijil kelahiran mereka yang asalnya menyatakan “Warganegara Malaysia”, apabila mereka memohon kad pengenalan kali pertama, selepas kedua-dua ibu bapa mereka meninggal dunia. Walaupun mak cik mereka (warganegara Malaysia) membesarkan adik-beradik tersebut, beliau masih gagal memulihkan status kewarganegaraan mereka, walaupun telah lebih sepuluh tahun berulang-alik ke Putrajaya, bawah beberapa kerajaan yang berbeza. Adakah ini kecuaian Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), atau kegagalan Kementerian Dalam Negeri (KDN)?

Lagi satu jenis kes yang kerap saya diberitahu, ialah anak luar nikah, anak angkat dan anak terbiar yang menjadi mangsa kesilapan ibu bapa mereka. Kenapa anak-anak yang dilahirkan kepada ibu atau bapa warganegara Malaysia atau dilahirkan dalam Malaysia, tidak diberikan kerakyatan secara automatik? Anak-anak sepatutnya dihargai dan didorong untuk menyumbang kepada negara, di mana kebanyakan daripada mereka tidak mengenal tanah selain dari Malaysia.

JPN berulang kali enggan mematuhi undang-undang dalam kes kanak-kanak terbiar, walaupun Mahkamah Persekutuan dalam kes CCH & Anor v Pendaftar Besar bagi Kelahiran dan Kematian Malaysia, dengan jelas menyatakan bahawa kanak-kanak yang terbiar berhak mendapat kewarganegaraan mengikut Jadual Kedua, Bahagian III, Seksyen 19(b).

Kanak-kanak pelarian etnik Rohingya di Bangladesh sekitar Ogos 2022. Kredit kepada REUTERS.

Janji Kosong

Pemangku Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Yang Berhormat Amira Aisya, bersama Wong Kueng Hui akan menyerahkan memorandum ke Parlimen berkenaan bantahan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan yang bersifat regresif yang akan dibentangkan dalam sesi parlimen terdekat.

Sehingga hari ini, isu kewarganegaraan kerap dimainkan oleh pemimpin politik silih berganti sebagai peralatan untuk meraih undi, termasuklah Pakatan Harapan 2018 yang menjanjikan bantuan “lebih bermakna” kepada pelarian dalam Malaysia. Namun, dengan cadangan pemindaan Perlembagaan Persekutuan untuk meletakkan kuasa pemberian kewarganegaraan kepada Putrajaya baru-baru ini, kerajaan Malaysia Madani tidak cuba membantu, malah mungkin menindas lebih teruk pelarian dan warga tanpa kewarganegaraan.

Solidariti sahaja tidak memadai. Solidariti memerlukan aksi untuk membawa apa-apa kesan. Sekiranya manusia yang berakal enggan memperjuangkan hak manusia, adakah manusia perlu taruhkan harapan pada babi untuk memperjuangkan hak kita?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.