Jenis dan Fungsi Panadol di Pasaran Malaysia

Last Updated on 17 hours ago by Loh

Pendahuluan

Jenama Panadol (paracetamol atau acetaminophen di Amerika) keluaran Haleon Malaysia (sebelum dikenali sebagai GlaxoSmithKline) adalah salah satu ubatan yang senang didapati sebagai ubat demam panas dan kesakitan minor. Disebabkan kesenangan untuk membeli ubat paracetamol tanpa melalui nasihat doktor mahupun ahli farmasi, timbul banyak kekeliruan dan mitos dalam masyarakat, yang tidak dijawab oleh artikel yang anda Google dalam talian. Maka, saya ingin cuba menjernihkan apa yang keruh melalui penulisan ini.

Fakta mengenai Paracetamol

  • Dos optimum paracetamol boleh dikira dengan 15mg setiap kilogram berat badan, dengan dos maksima harian (setiap 24 jam) ialah 4000mg atau 4g.
  • Dalam bentuk tablet, produk mengandungi paracetamol, termasuk Panadol, biasanya didapati dalam variasi 500mg atau 650mg setiap tablet.
  • Paracetamol ialah ubat tahan sakit dan lega demam panas yang paling selamat bagi ibu mengandung dan sedang menyusu.

AMARAN:
Paracetamol TIDAK sesuai untuk orang yang menghidapi kerosakan hati (liver impairment), orang yang alah kepada paracetamol, orang yang kerosakan buah pinggang (ginjal), orang yang menggemari alkohol secara berpanjangan (alcoholic), dan orang kekurangan glukosa-6-fosfat dehidrogenase (G6PD deficiency).

Panadol Regular

Panadol Regular 30's

Panadol Regular ialah produk Panadol yang tertua di Malaysia, sampai kita selalu panggilkan semua paracetamol sebagai ‘Panadol‘, serupa dengan bekas plastik yang dipanggil ‘Tupperware‘. Produk ini telah tamat tempoh paten di seluruh dunia kerana formulasi ini diperkenalkan sejak 1950-an. Maka, ubatan generik paracetamol boleh dikilangkan oleh pengeluar lain, sebagai contoh Paracil, Uphamol 500, dan banyak lagi.

Berbanding dengan produk paracetamol jenama lain, tablet Panadol Regular berbentuk leper dengan permukaan yang licin, membuatkan ia lebih senang ditelan dan tidak mudah lebur dalam mulut.

Sebagai produk ‘vanilla’, kita perlu ingati dosnya ialah

SATU (1) hingga DUA (2) tablet setiap ENAM (6) jam.

Pesakit yang kurang dari 65kg, dos optimum bagi setiap kali ialah SATU (1) tablet. Pesakit yang lebih dari 65kg, dos optimum ialah DUA (2) tablet setiap kali makan.

Panadol Optizorb

Panadol Optizorb 144's

Formulasi Panadol Optizorb diperkenalkan pada tahun 1998 untuk menggantikan Panadol Regular yang telah tamat tempoh paten. Tabletsnya licin di luar dan berbentuk bujur, untuk memudahkan proses penelanan.

SATU (1) hingga DUA (2) tablet setiap ENAM (6) jam.

Berbanding dengan formulasi Panadol Regular, Panadol Optizorb dikatakan berkesan secepat sepuluh (10) minit, dengan berpecah dan terlarut dengan cepat dalam perut. Ketiga-tiga eksipien iaitu asid alginik, kalsium karbonat dan krospovidon tidak merengsakan perut, maka sesuai untuk pesakit gastrik.

Mengikut pendapat saya, selagi kesakitan itu boleh ditahan (‘bearable‘), saya akan memilih Panadol Regular yang lebih murah.

Panadol Actifast

Panadol Actifast 20's

Formulasi Panadol Actifast diperkenalkan pada tahun 2001 sebagai formulasi yang dikatakan lebur dan diserap lebih cepat dalam badan berbanding dengan Panadol Regular. Berbanding dengan Panadol Regular yang secara purata mengambil masa 30 minit untuk berkesan, Panadol Actifast dikatakan berkesan dalam masa 15 minit.

SATU (1) hingga DUA (2) tablet setiap ENAM (6) jam.

Formulasi Actifast mengandungi 173mg garam natrium (sodium) dalam setiap 500mg tablet, maka satu dos biasa (dua tablet) mengandungi 346mg natrium. Kandungan natrium (dalam bentuk sodium bicarbonate) yang agak tinggi ini telah mencetuskan satu khabar angin di mana pesakit yang menghidapi darah tinggi itu tidak sesuai untuk makan Panadol Actifast. Khabar itu tidak betul sepenuhnya, terutama kepada pesakit dengan buah pinggang yang berfungsi dengan baik. Sekiranya buah pinggang anda berfungsi kurang baik dalam menyahkan garam natrium dari badan, anda mungkin mengalami hypernatremia yang biasanya bergejala lemah otot, dahaga mahupun pening. Sila hadir ke unit kecemasan hospital sekiranya gejala berterusan.

Panadol Soluble

Panadol Soluble 20's

Satu biji Panadol Soluble mengandungi 500mg paracetamol dalam bentuk tablet senang larut dalam air (efferverscent tablet).

SATU (1) hingga DUA (2) tablet setiap ENAM (6) jam.

Berbanding dengan Panadol Actifast, Panadol Soluble mengandungi kandungan natrium (sodium) yang lebih tinggi, iaitu sebanyak 427mg natrium dalam setiap tablet. Formulasi ini sesuai untuk pesakit dengan berat badan melebihi 35kg dan/atau kekok menelan tablet keras. Biasanya formulasi ini berperisa lemon.

Panadol 650

Panadol 650 80's

Formulasi ini adalah unik untuk pasaran Malaysia, setanding dengan jenama Uphamol 650. Formulasi ini mengandungi 650mg paracetamol dalam setiap tablet, lebih tinggi berbanding dengan formulasi yang lain, maka dos hariannya adalah berbeza seperti di bawah:

SATU (1) hingga DUA (2) tablet setiap LAPAN (8) jam.

Panadol Extend

Panadol Extend 12's

Formulasi ini berbentuk tablet keras dalam kapsul, dengan kandungan 665mg paracetamol dalam setiap tablet. Disebabkan dos yang lebih tinggi dari biasa, maka dos harian maksimum Panadol Extend ialah enam (6) kaplet setiap 24 jam.

SATU (1) hingga DUA (2) tablet setiap LAPAN (8) jam.

Perkataan ‘extend‘ bermakna formulasi ini bertujuan untuk melepaskan paracetamol perlahan-lahan ke dalam saluran darah, menjangkau enam (6) hingga lapan (8) jam, untuk mengurangkan keperluan mengulangi dos dari empat kali sehari kepada tiga kali sehari, yang mungkin bermanfaat kepada pesakit yang susah telan ubat dan mengalami kesakitan kronik (berjangka panjang).

JANGAN patahkan (mahupun lenyekkan atau hancurkan) tablet Panadol Extend. Pemecahan tablet akan merosakkan mekanisme pelarutan dan melepaskan paracetamol sekali gus ke dalam saluran darah.

Panadol Extra

Panadol Extra 20's

Panadol Extra sesuai untuk melegakan sakit kepala jenis migrain, demam panas beserta sakit otot, dan senggugut. Formulasi ini mengandungi 65mg kafein bersama dengan 500mg paracetamol setiap tablet.

SATU (1) hingga DUA (2) tablet setiap ENAM (6) jam.

Seperti yang diketahui ramai, kafein membantu dalam menyegarkan minda, terutamanya pesakit yang letih tetapi masih perlu beraktiviti harian. Pada masa yang sama, kafein boleh menyempitkan saluran darah yang biasanya mendatangkan kesakitan migrain, seterusnya bekerja secara sinergistik dengan paracetamol dalam mengurangkan kesakitan.

Ini antara formulasi yang paling berkesan, namun saya tidak syorkan kepada pesakit bawah umur 12 tahun. Panadol Extra juga tidak sesuai untuk pesakit yang ada alahan kepada kafein.

Panadol Menstrual

Panadol Menstrual 120's

** Buat masa sekarang, tiada stok Panadol Menstrual di mana-mana farmasi akibat pemanggilan semula sejak Disember 2025.

Panadol Menstrual ialah Panadol yang biasanya orang panggil ‘Panadol Pink‘, walaupun Panadol for Children juga berwarna merah jambu. Formulasi ini kerap digunakan oleh wanita yang mengalami gejala sakit dan kembung perut menjelang kedatangan haid.

SATU (1) hingga DUA (2) tablet setiap ENAM (6) jam.

Setiap kaplet Panadol Menstrual mengandungi 500mg paracetamol dan 25mg pamabrom. Pamabrom ialah sejenis ubat lawas kencing yang lemah, berfungsi mengurangkan rasa kembung perut dengan mengurangkan penyerapan air dan mengosongkan pundi kencing.

Selagi berat badan pesakit lebih dari 35kg, saya benarkan pesakit mengambil Panadol Menstrual, kerana banyak anak perempuan sudah baligh sebelum umur 12 tahun.

Panadol for Children

Panadol for Children 144's

Formulasi warna merah jambu ini berbentuk tablet boleh kunyah (‘chewable tablet‘), dengan kandungan 120mg paracetamol dalam setiap tablet. Tablet ini boleh dipecah dua mengikut garis belahan di tengah-tengah (60mg) untuk pemberian dos yang lebih tepat.

Berat badan (kg) x 15 / 120 = Dos dalam biji tablet, setiap ENAM (6) jam

Formulasi ini walaupun berperisa, ada sesetengah pesakit yang masih boleh rasa kepahitannya. Namun, tablet Panadol for Children sesuai untuk pesakit lebih enam bulan yang sudah boleh menelan makanan pepejal bawah penjagaan. Sekiranya ragu-ragu, anda boleh pilih Panadol Suspension.

Panadol Suspension

Panadol for Children 250mg/5mL
Panadol for Children 120mg/5mL

** Saya memilih untuk menjual variasi 250mg/5mL sahaja di dalam farmasi saya untuk kurangkan kekeliruan dan kesalahan.

Formulasi ini boleh didapati dalam dua variasi sirap, iaitu 120mg/5mL dan 250mg/5mL. Bagi pesakit kurang dari 12 tahun ataupun 35kg, dos boleh dikira dengan formula di bawah.

Untuk sirap 120mg/5mL

Berat badan (kg) x 15 / 24 = Dos dalam mL

Untuk sirap 250mg/5mL

Berat badan (kg) x 15 / 50 = Dos dalam mL

>>KALKULATOR DOS<<

Apabila berat badan pesakit melebihi 35kg, dos tunggal akan melebihi 500mg paracetamol, maka formulasi bentuk tablet 500mg adalah digalakkan. Sekiranya dos tunggal melebihi 120mg tetapi kurang dari 500mg paracetamol, Panadol for Children pula digalakkan.

Nota

Dalam pasaran Malaysia, wujud produk lain yang mengandungi paracetamol, mungkin dalam jenama selain Panadol, juga formulasi yang bergabung dengan ubat lain, seperti Maxigesic, Febricol, Flucor Day dan sebagainya. Cuba baca dan kenalpasti kandungan ubat supaya tidak dimakan bersama Panadol, untuk mengelakkan makan paracetamol melebihi dos harian maksimum.

Untuk pengetahuan semua, ada beberapa formulasi Panadol yang TIDAK dibenarkan untuk jualan pasaran Malaysia kerana kekangan undang-undang untuk keselamatan pesakit, termasuklah Panadol Cold & Flu, Panadol Cold & Flu All in One, Panadol Cold & Flu Day, Panadol Night, dan Panadol Sinus.

Penutup

Tulisan ini setakat cara penggunaan dan pemakanan yang biasa untuk Panadol. Untuk soalan lebih lanjut, lebih baik berjumpa dengan ahli farmasi dan/atau doktor yang terdekat untuk kesakitan anda (atau jagaan anda). Diagnosa yang menyeluruh dan nasihat yang praktikal hanya boleh diberi selepas ujian secara bersemuka dan holistik dijalankan.

Saya mungkin akan tulis lebih lanjut tentang mitos berkenaan paracetamol atau ubatan lain pada masa hadapan. Untuk cadangan atau persoalan, sila isikan borang pertanyaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.